RM5.96 bilion wang tidak dituntut
Sumber : Sinar Harian15 November 2017
KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz memaklumkan Dewan Rakyat, sebanyak RM5.96 bilion jumlah Wang Tidak Dituntut (WTD) sehingga 31 Oktober lalu.
Beliau berkata, kementerian telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kewujudan WTD, termasuk kempen di media cetak dan program television.
“Selain itu, kita juga membuka reruai pameran bagi memberi penerangan serta memberi peluang pengunjung melakukan semakan WTD.
“Malah, mulai suku kedua 2018, sistem eGUMIS (Electronic Goverment Unclaimed Money Information System) akan diaktifkan bagi memudahkan orang ramai mengakses dan menyemak status WTD,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) mengenai jumlah terkini wang tidak dituntut dan langkah yang dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kewujudan wang ini.
Othman berkata, WTD adalah wang perlu dibayar disisi undang- undang kepada pemilik yang sepatutnya dalam tempoh masa tertentu seperti mana tetapkan di bawah Seksyen 8, Akta Wang Tidak Dituntut 1965.
“Pendaftar wang tidak dituntut, iaitu Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) sebagai pemegang amanah akan menyimpan selamat wang tersebut mengikut peraturan kewangan berkuatkuasa sehingga ianya dituntut oleh empunya yang berhak,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan sehingga kini pihaknya telah menerima sebanyak 52,015 permohonan WTD. Daripada jumlah itu, sebanyak 34,353 permohonan datangnya daripada Lembah Klang.
No comments:
Post a Comment